Sunday, May 11, 2008

Pelan Hidup





Kataku tidak salah kalau adik-adik mahu berimaginasi walau sampai langit ke tujuh sekalipun. Imaginasi dan angan-angan itu perlu tetapi kadangkala jika kita tidak memprogramkannya di minda kita secara lebih berstruktur, kita takkan mampu fokus kepada matlamat yang ingin kita capai atau dalam ertikata lain impian hanya tinggal impian dan kita akan terus berimaginasi. Aku lukis pelan hidup aku dan aku katakan pada mereka bahawa sewaktu aku melukisnya aku telah berusia 20 tahun. Memang lewat. Kerana sebelum itu tak ada sesiapa yang mengajar aku tentang pelan hidup. Pada masa itu aku rasa aku adalah seorang yang gagal dan takkan dapat mengejar impianku. Tetapi siapalah sangka, pelan hidup yang aku lukiskan itu akhirnya telah melukis kehidupan sebenar aku. Aku pun tak pernah menyangka yang aku telah melepasi 3 tempoh masa 5 tahun iaitu 25 tahun, 30 tahun dan sekarang menuju usia 35 tahun, aku telah berjaya mencapai setiap apa yang aku lukiskan dulu. Melukis pelan hidup ialah umpama melukis tentang harapan sendiri yang diterjemahkan di atas kertas, bukan sekadar imaginasi. Tetapi ia mestilah bersifat realistik. Kita mesti menimbangkan faktor penyokong dan juga penghalang supaya kita juga bersedia dengan jalan alternatif. Kataku tidak mengapa kalau orang lain naik jet dan kita cuma berjalan kaki. Kerana pengalaman yang kita kutip sepanjang perjalanan itu pasti tidak sama dengan orang yang naik jet. Dan kita tentu akan jadi orang yang luar biasa kerana berjaya sampai ke destinasi kita. Tidak timbul soal terlambat kerana setiap saat dalam hidup ini adalah proses untuk kita belajar dan mencari makna sebenar kehidupan. Kejayaan ialah apabila kita telah mencapai sesuatu matlamat yang kita impikan dan kita merasa bahagia. Itulah kejayaan sebenarnya. Dan aku kongsikan perjalanan hidup seorang Kak Long, satu perjalanan hidup yang bukan biasa-biasa. Dari sinar mata adik-adik ini aku dapat melihat harapan, aku dapat melihat yang minda mereka sedang berfikir dan barangkali sedang menimbangkan untuk memulakan langkah pertama pada hari ini. Banyak yang aku belajar dari mereka.....tak rugi rasanya menawarkan diri menjadi fasilitator membantu sahabat aku ini mengendalikan program Remaja Y2Y pada minggu lalu.


No comments: