Wednesday, March 4, 2009

Transformasi

Pada suatu hari di pagi yang hening seorang gadis kecil menjinjing beberapa buah tempirai untuk memerangkap ikan di tali air sawah. Hari itu sama sahaja seperti hari-hari yang lain, kena berfikir nak masak apa, dan di mana nak cari bahan-bahannya.
Kira-kira jam 11.00 pagi selepas selesai membasuh kain baju dan menguruskan adik-adik, dia pergi menjengok tempirai yang ditenggelamkan separuh di taliair berkenaan. Adalah beberapa ekor ikan sepat dan puyu yang terperangkap di tempirai buatan tangan makngahnya itu. Alhamdulillah, dia tersenyum girang.
Selepas menyiang ikan-ikan tersebut dan dibersihkan, segera dia gorengkan, kemudian disimpan di dalam kuali di atas dapur kayu dan ditutup dengan penutup kuali. Tempat yang agak tinggi. Tapi tiba-tiba tatkala dia leka melayan adik-adiknya, terdengar bunyi tudung periuk jatuh. Rupa-rupanya seokor kucing “marau” yang jahat telah menguis tudung periuk itu sampai jatuh ke lantai. Dan seekor ikan sudah digonggong si kucing. Dia menjerit kuat, dikejarnya kucing tersebut. Ikan yang digonggong sang kucing terlepas dari mulut dan jatuh ke lantai. Kucing hilang dari pandangan.
Dia berteleku menghadap ikan dilantai….air matanya menitis. Dia sudah mengira tadi, hanya beberapa ekor ikan. Seekor ikan boleh dikongsi berdua, tetapi satu sudah dicapai kucing marau yang jahat. Perlahan-lahan sambil menangis dia mengutip ikan tersebut, segera dibasuhnya, kemudian dia menyalakan api dan menggorengnya semula. Hari itu dia menyuapkan nasi ke mulut adik-adiknya sambil bercucuran air mata…………
Sampai hari ini dia tak sukakan kucing. Malah tak pernah mahu bermain dengan kucing. Menyentuhnya pun dia malas. Apatah lagi nak bermain-main tak kira betapa comelnya kucing itu. Dia membesar jadi dewasa yang pendendam. Bukan kucing sahaja, sesiapa pun yang bisa mengores hatinya dan membuat dia menangis akan didendami. Dan kisah kucing itu hanyalah salah satu kisah sedih yang membuatkan dia mendendami seluruh kehidupannya. Dia mahu mengubah nasib diri, nasib keluarga. Dia mahu jadi orang yang berjaya. Maka bermulalah satu perjuangan yang penuh motivasi, tapi barangkali kiblatnya dunia sahaja. Dia berlari tanpa henti….seperti tak ada penghujungnya dunia ini.
Akhirnya dia bertemu satu titik, turning point dalam kehidupannya. Dia berikrar untuk menyelaraskan kehidupannya semula. Dia mahu merasa sempurna bukan pada material dan fizikal sahaja, tetapi perasaan yang sempurna itu apabila kita mampu menyeimbangkan segala perkara dalam hidup kita dengan sewajarnya. Alhamdulillah, dia sedang melakukannya. Dan dia sudah mula menikmati keseimbangan itu. Lama benar masa yang dimbil untuk melakukan transformasi bukan?

Pernah baru-baru ini aku ditanya tentang had kesabaran dan juga masa depan. Bilakah sampainya titik untuk kita membuat keputusan. Katanya dia tidak tahu samada boleh terus sabar dan menghadapi selama-lamanya begini. Dia juga ingin merasa bahagia. Nasihat aku satu sahaja, pertanyaan semula kepadanya. Apakah matlamat hidup kita sebenarnya? Adakah duniawi sahaja? Apakah kepentingan diri kita itu terlalu penting mengatasi insan-insan yang penting di sekeliling kita? Fikirkanlah mereka juga, mataku melirik insan yang sedang lena di sebelahnya. Apa yang tuhan beri pada kita adalah yang terbaik untuk kita. Dan dia mengangguk tersenyum. Semuanya pinjaman sahajakan? Dia menjawab dengan soalan.

2 comments:

suara said...

Salam kak long...
Bagi su, kunci keseimbangan hidup ada dua... meminta hanya padaNya dan bersyukur dgn pemberianNya...
Erm... hanya itu yg terlintas difikiran buat masa kini. :)

Kak Long said...

Su > ya betul,dan semua bertitik tolak dari hati. Tapi yang paling sukar sekali ialah mensucikan hati. Saya sendiri masih belum berjaya melakukannya 100%. But always try my level best.